CAN I WORK WITH AUTISM
February 27, 2018
ADAKAH ANAK LAMBAT CAKAP KERANA MENGIDAP AUTISME?
March 7, 2018

Kurang Perhatian Punca Pesakit Alzheimer Melarat

Pesakit dementia khususnya Alzheimer yang sering dihidapi individu berusia 65 tahun ke atas perlu diberi perhatian dan penjagaan sewajarnya khususnya oleh waris terdekat, selain tidak ketinggalan mengambil ubat-ubatan, bagi memastikan tingkah-laku mereka sentiasa terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud, berkata dementia bukan tergolong dalam penyakit mental sebaliknya ketidakupayaan otak dalam berfikir dan membabitkan memori, justeru pengabaian terhadap kebajikan dan penjagaan pesakit membuatkan penyakit mereka bertambah teruk serta mengakibatkan tingkah laku menjadi tidak terkawal.

“Keadaan pesakit akan menjadi lebih teruk sekiranya mereka disisihkan seperti dikurung dan tidak diberi perhatian khususnya oleh anak-anak yang terikat dengan waktu kerja hingga akhirnya tingkah-laku pesakit menjadi seperti bayi yang perlu diberi sepenuh perhatian.

“Disebabkan itu, pesakit perlu sentiasa diberi perhatian khususnya oleh anak-anak atau saudara terdekat selain mengambil ubatan seperti ‘antidepressant’, ‘anxiolytics’ dan penstabil emosi untuk mengawal tingkah-laku serta menguatkan memori mereka.

“Sekiranya terikat dengan waktu kerja di pejabat, pesakit boleh dihantar ke pusat jagaan yang dikhaskan kepada pesakit dementia yang dibuka pada waktu pejabat,” katanya pada sidang media sempena penganjuran  ‘Memory Walk’ sejauh 6.6 kilometer disertai 3,100 peserta sempena Hari Alzheimer Sedunia di Universiti Kuala Lumpur Royal Collage of Medicine Perak (UniKL RCMP), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Dementia Perak (TDSP), Prof Dr Esther Ebenezer dan Naib Pengerusi TDSP merangkap Timbalan Dekan Akademik Fakulti Perubatan UniKL RCMP, Profesor Bersekutu Dr Mah Kin Kheong.

Mazliham berkata, pemahaman masyarakat mengenai penyakit dementia masih rendah apabila Malaysia hanya mempunyai empat pusat jagaan harian khusus buat golongan terbabit termasuk satu di Perak dengan setiap satu hanya mampu menampung 25 pesakit dan dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berbanding Singapura yang mempunyai 14 pusat demikian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Justeru, kami berharap pihak berkenaan peka dalam membantu golongan pesakit ini untuk membolehkan mereka hidup dalam persekitaran yang lebih aman selain tidak berasa tersisih dan dikongkong khususnya oleh ahli keluarga terdekat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *