ALZHEIMER’S DISEASE
February 20, 2018
AUTISM: SCIENTISTS TAKE ‘FIRST STEPS’ TOWARDS BIOLOGICAL TEST
February 22, 2018

GANGGUAN DEMENSIA

Lupa, tidak dapat mengingati sesuatu perkara, tidak dapat mengungkap perkataan yang sesuai merupakan perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan seharian. Ia bukanlah sesuatu perkara yang serius melainkan ia menggangu fungsi kehidupan seharian individu. Ia akan memberi gangguan pada delirium. Selain delirium, gangguan terhadap fungsi kognitif juga boleh disebabkan oleh demensia.

Demensia merujuk kepada gejala kecelaruan psikokognitif yang melibatkan gangguan pemikiran seperti hilang ingatan, kesukaran dalam aspek penyelesaian masalah dan juga gangguan bahasa. Selain gangguan terhadap aspek kognitif, individu yang mengalami gejala Demensia juga cenderung untuk mengalami gangguan dalam aspek emosi dan juga tingkahlaku mereka.

Seperti yang disebut di atas, demensia melibatkan gangguan terhadap sistem kognitif individu termasuk aspek pemikiran, proses membuat keputusan dan juga aspek bahasa dan pertuturan. Antara gejala yang cenderung dialami oleh pesakit demensia adalah kesukaran untuk mengingati peristiwa yang baru berlaku. Selain itu, kesukaran untuk menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara dan menyelesaikan masalah seharian juga cenderung untuk dialami oleh pesakit demensia.

Dalam aspek bahasa dan pertuturan, pesakit cenderung menghadapi kesukaran untuk mengikuti perbualan atau mencari perkataan yang sesuai untuk menerangkan tentang sesuatu perkara.

Demensia juga cenderung untuk menjejaskan keupayaan visuospatial individu. Ini termasuk keupayaan untuk menilai jarak dan saiz sesuatu objek. Individu yang mengalami gangguan visuospatial berkecenderungan untuk tidak mampu membezakan jauh atau dekat sesuatu objek.

Selain itu, mereka juga cenderung untuk menghadapi masalah dalam aspek orientasi masa dan tempat. Contohnya, tidak berupaya untuk membezakan siang atau malam dan keliru tentang aspek keberadaan mereka.

Emosi individu yang mengalami demensia juga cenderung untuk terkesan. Sebagai contoh, mereka cenderung mengalami emosi seperti kecewa, cemas, mudah marah, dan juga murung. Bagi sesetengah jenis demensia, pesakit juga mungkin mengalami gangguan halunisasi dan delusi. Mereka berkecenderungan untuk melihat perkara yang tidak wujud (halusinasi) atau percaya tentang sesuatu yang tidak betul (delusi).

Kualiti kehidupan seseorang yang mengalami demensia sangat bergantung kepada faktor persekitaran sosialnya. Oleh yang demikian, adalah penting untuk individu di sekeliling memahami gejala bagi penyakit ini dan faham bagaimana untuk menanganinya.

Demensia adalah penyakit yang bersifat progresif. Dalam kata lain, ia cenderung untuk menjadi lebih buruk dari masa ke semasa. Kadar kecepatan tahap keterukkannya berbeza dari seseorang pesakit dengan pesakit yang lain.

Apabila demensia dialami, pesakit berkemungkinan menunjukkan gejala seperti bertanya soalan yang sama berulang-ulang, mundar mandir, dan kelihatan gelisah. Seseorang yang mengalami demensia, terutamanya di peringkat yang teruk, mungkin mengalami gejala fizikal seperti lemah otot dan penurunan berat badan. Perubahan pola tidur dan selera makan juga cenderung untuk berlaku.

Faktor penyebab demensia adalah pelbagai. Ia boleh disebabkan oleh penyakit kognitif lain seperti Alzheimer, penyempitan salur darah, perubahan kimia dan struktur otak, dan perkara lain yang menggangu struktur dan fungsi otak individu.

Penyakit alzheimer merupakan penyebab yang paling biasa. Bagi penyakit alzheimer, sel-sel otak dikelilingi oleh sejenis protein yang menyebabkan interaksi di antara sel-sel otak terganggu dan menjadi rosak.

Selain alzheimer, ia juga boleh disebabkan oleh penyempitan salur darah. Penyempitan ini menyebabkan bekalan oksigen ke otak berkurang dan boleh merosakkan sel-sel rosak. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba, seperti selepas seseorang itu mengalami strok major. Ia juga berlaku selepas beberapa siri strok minor.

Di tahap yang teruk, pesakit demensia cenderung untuk memerlukan lebih banyak sokongan dalam menjalani kehidupan sehariannya. Namun, ramai individu yang mengalami demensia mempunyai kualiti hidup yang baik walaupun mempunyai gangguan ini.

Pengurusan Gejala Demensia

Sesetengah orang mempunyai masalah dengan ingatan atau pemikiran mereka tetapi ini tidak cukup buruk untuk mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Ini biasa dirujuk sebagai gangguan kognitif ringan.

Walaupun bukan demensia, ia memberi risiko yang lebih tinggi untuk menyebabkan demensia.Dari segi umur, demensia cenderung untuk dialami oleh individu yang berumur 65 tahun keatas. Namun, ia juga boleh dialami oleh mereka di bawah usia 65 tahun.

Selain penyebab yang disebut diatas, faktor genetik turut mempengaruhi risiko seseorang untuk mengalami gangguan demensia. Walaubagaimanapun, risikonya adalah sangat kecil. Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka yang mengalami demensia.

Selain ubat-ubatan yang diterima dari pakar perubatan, terapi kaunseling boleh membantu individu untuk berbincang dan meluahkan perasaan mereka.

Selain itu, terapi kognitif-tingkahlaku di dapati berkesan bagi membantu menguruskan gangguan emosi seperti kemurungan. Untuk merangsang minda, terapi rangsangan kognitif adalah pilihan untuk membantu minda untuk kekal aktif.

Adalah penting untuk mereka yang mengalami dementia untuk tetap aktif mengikut keupayaan mereka dalam aktiviti yang boleh merangsang aspek fizikal, mental, dan sosial diri.

Penglibatan dalam aktiviti seperti ini boleh merangsang emosi yang lebih positif dalam menghadapi gejala gangguan ini.

Pensyarah psikologi senaman dan sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

Sumber daripada: http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/gangguan-demensia-1.506343

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *