Rawatan awal bantu kanak-kanak autisme jalani hidup lebih baik
January 18, 2018
PENYEBAB PENYAKIT LUPA
January 20, 2018

Alzheimer: Punca, Bagaimana ia terjadi dan Cara rawatan

Anda tentu pernah mendengar istilah “Nyanyuk” yang sering digunakan untuk menggambarkan keadaan seseorang yang sudah lanjut usia dan tidak mampu mengingat sesuatu perkara dengan baik. Sesetengah dari anda juga mungkin pernah mendengar tentang penyakit Alzheimer

Kerapkali kedua-dua penyakit ini disalah erti dan masyarakat sering beranggapan bahawa nyanyuk dan penyakit Alzheimer adalah suatu perkara yang sama.
Namun pada hakikatnya, Alzheimer bukanlah nyanyuk. Akan tetapi ia adalah sejenis penyakit yang paling banyak menyumbang kepada masalah nyanyuk, atau lebih juga dikenali sebagai “Dementia”.

Maka lebih tepat jika disebut bahawa seseorang itu boleh menjadi nyanyuk (Dementia) disebabkan oleh penyakit Alzheimer. Tetapi nyanyuk (Dementia) itu sendiri boleh juga disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit lain termasuklah penyakit yang dinamakan sebagai Vascular Dementia, Lewy body dementia, malah penyakit Parkinson dan Syphilis juga boleh menyebabkan keadaan nyanyuk (dementia) kepada penghidapnya, tetapi amat lah jarang sekali berlaku.

PENGENALAN

Penyakit ini dikenali sebagai Penyakit Alzheimer yang diambil sempena seorang pakar sakit jiwa dan pakar pathologi iaitu Alois Alzheimer pada tahun 1906. Penyakit ini sebenarnya adalah sejenis penyakit penuaan pada sel otak yang berlaku secara perlahan dan berterusan. Penyakit ini menyumbang hampir 60-70% kepada keadaan nyanyuk.

Antara simptom atau tanda-tanda awal kepada penyakit ini termasuklah kesukaran mengingati perkara yang baru sahaja dilakukan. Contoh seperti terlupa di mana meletakkan kunci kereta, terlupa tarikh temujanji, atau tidak ingat di mana tempat meletakkan kereta.

Semakin lama, penyakit ini akan menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan penghidapnya tidak mampu mengingati perkara yang lebih penting seperti nama sendiri, isteri dan anak-anak. Pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk bercakap dan mengenal perkataan, perubahan tingkah-laku dan emosi serta akhirnya, pesakit tidak mampu lagi mengingati perkara asas seharian seperti cara untuk makan dan mengurus diri.

Lama-kelamaan, fungsi asas tubuh badan pesakit juga akan semakin menurun menyebabkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman dan akhirnya pesakit akan meninggal dunia. Meskipun berbeza-beza mengikut individu, setiap individu yang telah didiagnosa sebagai penghidap Alzheimer akan meninggal dunia sekitar 3-9tahun daripada tarikh diagnosa.

 

FAKTOR RISIKO

Adapun punca sebenar penyakit Alzheimer ini masih tidak diketahui sepenuhnya.

Namun begitu, para saintis mendapati beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu cenderung mendapat penyakit Alzheimer di lewat usia termasuklah :
a) Kecederaan di kepala
b) Kemurungan
c) Penyakit darah tinggi
d) Penyakit kencing manis
e) Tahap kolesterol yang tinggi
f) Obesity atau kegemukan
g) Genetik atau keturunan

 

PUNCA PENYAKIT ALZHEIMER

Terdapat juga pelbagai teori saintis yang merumuskan tentang punca sebenar bagaimana penyakit Alzheimer boleh terjadi dan antaranya ialah :

1.Teori Genetik atau juga dikenali sebagai Early-onset familial Alzheimer disease.

Melalui teori ini, para saintis berpendapat bahawa terdapat mutasi pada tiga gene iaitu gene APP, Presenilins 1 dan 2. Apabila mutasi berlaku pada salah satu gene ini, maka berlakulah penghasilan protein kecil yang dipanggil Aβ42, iaitu komponen penting kepada senile plaques.

Selain itu, faktor risiko yang paling turut dikenali ramai para saintis juga adalah apabila seseorang itu mewarisi ε4 allele daripada apolipoprotein E (APOE). Dianggarkan sebanyak 40-80% penghidap penyakit Alzheimer memiliki paling kurang satu APOEε4 allele di dalam rangkaian genetik mereka. Dengan ini, risiko untuk seseorang itu mendapat penyakit Alzheimer boleh meningkat sehingga 3kali ganda pada heterozygot dan 15kali ganda pada homozygot.

Mutasi pada gene TREM2 pula dikaitkan dengan 3 hingga 5 kali ganda menghidap Alzheimer. Dijangkakan bahawa apabila gene TREM2 termutasi, sel darah putih di dalam otak tidak dapat lagi mengawal jumlah beta amyloid yang terhasil.

2. Hipotesis Cholinergic
Melalui hipotesis ini, dikatakan bahawa penyakit Alzheimer boleh berlaku apabila terdapat pengurangan dalam penghasilan neurotransmitter acetylcholine. Namun begitu, hipotesis ini tidak mendapat sambutan ramai saintis lain kerana ubat yang digunakan untuk merawat kekurangan acetylchiline tidak berkesan dalam merawat penyakit Alzheimer.

3. Hipotesis Amyloid
Pada tahun 1991, hipotesis ini mengatakan bahawa Amyloid beta yang berada di luar sel adalah punca utama penyakit ini. Dakwaan ini adalah bersandarkan bahawa lokasi protein prekursor amyloid (APP) yang terletak pada kromosom 21. Dikuatkan pula dengan pemerhatian bahawa individu yang menghidap trisomy 21 (Sindrom Down) dilihat akan menunjukkan simptom penyakit Alzheimer pada usia 40tahun.

Pada tahun 2009, teori ini telah dikemaskini, kerana para saintis mendapati bahawa protein beta-amyloid bukanlah punca sebenar penyakit Alzheimer, tetapi hanyalah sekadar menurunkan fungsi sinaps. Manakala N-APP, iaitu pecahan dari APP yang berasal dari N-terminus bergabung dengan receptor neuron kematian (Death neuron 6, DR6 atau juga dikenali sebagai TNFRSF21) lah yang menyebabkan kematian banyak sel neuron seperti yang terdapat pada otak pesakit Alzheimer.

 

Gambarajah menunjukkan bagaimana enzyme memotong APP dan bergabung dengan Beta-Amyloid dan akhirnya membentuk gumpalan yang dinamakan Beta-Amyloid plaque. Gumpalan inilah yang akan menyebabkan gangguan pada fungsi otak pesakit Alzheimer.

4. Hipotesis Tau
Hipotesis ini mengatakan bahawa keganjilan pada protein Tau mencetuskan kepada terjadinya penyakit Alzheimer. Di dalam teori ini, protein tau yang dihyperphosphorylate mula bergabung dengan protein tau yang lainnya.

Akhirnya, ia membentuk neurofibrillary tangles di dalam badan sel otak. Apabila ini berlaku, microtubules akan mula rapuh, dan merosakkan struktur cytoskeleton sel. Sekaligus merencatkan sistem pengangkutan neuron. Akhirnya, ini akan menyebabkan kegagalan dalam komunikasi biokemikal antara neuron dan akhirnya sel ini akan mati.

Gambarajah menunjukkan bagaimana perubahan pada protein Tau menyebabkan microtubules pada cytoskeleton sel neuron menjadi musnah

 

PATOFISIOLOGI

Simptom Alzheimer dapat mula dilihat apabila terdapat perubahan pada sistem neurotransmitter, seperti yang dinyatakan di atas. Selain itu, terdapat juga perubahan pada struktur otak sendiri seperti di kawasan gyri otak yang akan semakin mengecil, dan kawasan sulci pula akan menjadi semakin lebar. Begitu juga pada ventrikel otak yang juga akan menjadi lebih besar daripada normal.

Kedua-dua amyloid plaques dan neurofibrillary tangles dapat dilihat dengan jelas melalui mikroskop.

Perbezaan otak orang biasa (kiri) dan pesakit Alzheimer (kanan)

 

DIAGNOSIS

Penyakit Alzheimer selalunya didiagnos melalui sejarah perubatan pesakit, cerita dari ahli keluarga, dan juga pemerhatian terhadap perilaku pesakit.

Penilaian terhadap kecerdasan fungsi otak termasuk ujian memori dapat lebih memberikan gambaran terhadap tahap penyakit seseorang itu.

Namun untuk mendapatkan kepastian sebenar, bedah siasat terhadap otak pesakit Alzheimer jugalah yang menentukan samaada seseorang itu benar-benar menghidap Alzheimer atau tidak.

Gambarajah ini adalah sebuah imbasan PET yang menunjukkan terdapat kehilangan fungsi pada temporal lobe pesakit Alzheimer

Kriteria diagnosis :
National Institute of Neurological and Communicative Disorders and Stroke (NINCDS) dan Alzheimer’s Disease and Related Disorders Association (ADRDA) telahpun mewujudkan kriteria untuk mendiagnosa pesakit Alzheimer pada tahun 1984, dan telah dikemaskini pada 2007.

Dalam kriteria ini, seseorang individu itu mestilah menghadapi 8 masalah kognitif iaitu masalah memori, bahasa, fokus, orientasi, penyelesaian masalah, skill perceptual,dan kebolehan constructive.

Kriteria ini ada terdapat dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-IV-TR) yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association.


Sumber daripada : https://thediagnosa.com/2017/07/28/penyakit-alzheimer/

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *