TIPS MENGATASI MASALAH SOSIAL ANAK AUTISM DISEKOLAH
January 17, 2018
Alzheimer: Punca, Bagaimana ia terjadi dan Cara rawatan
January 19, 2018

Rawatan awal bantu kanak-kanak autisme jalani hidup lebih baik

Lebih awal ibu bapa menyedari dan menerima hakikat bahawa anak mereka menghadapi masalah autisme, maka peluang bagi anak mereka menerima rawatan yang sesuai untuk menjalani kehidupan lebih baik adalah lebih cerah.

Dekan Fakulti Perubatan Tradisional dan Komplementari di Kolej Universiti Sains Perubatan, Universiti Cyberjaya, Prof Madya Dr Ibrahim Usman Mhaisker berkata seawal usia 18 bulan, bayi perlu dibawa berjumpa pakar untuk rawatan jika mereka mempunyai apa-apa ketaknormalan dalam perkembangan.

“Dari situ, kita dapat melihat apa jenis ketaknormalan dalam tingkah laku mereka. Jika kita melihat sesuatu seperti lambat untuk bercakap dan berkomunikasi pada usia itu, kita perlu membawa mereka untuk pemeriksaan ke tahap lebih tinggi,” kata beliau kepada Bernama.

Ibrahim berkata tiada kaedah kekal bagi mengubati autisme tetapi lebih awal ibu bapa membawa anak mereka untuk rawatan, ia dapat membantu meningkatkan tahap keyakinan kanak-kanak dan membantu mereka melakukan dengan lebih baik dalam kehidupan mereka.

“Ia harus menggabungkan beberapa terapi atau pendekatan seperti ucapan, pekerjaan, tingkah laku atau terapi pembelajaran. Kita telah melihat kanak-kanak ini mencapai perkembangan baik dalam kehidupan mereka melalui pendekatan ini. Kita boleh meningkatkan sehingga 90 peratus untuk perubahan dalam kehidupan mereka,” kata beliau.

Stigma autisme

Beliau berkata kesedaran di negara-negara Asia mengenai autisme telah bertambah baik berbanding tahun-tahun lalu, namun stigma masih wujud untuk ibu bapa tampil ke hadapan dalam menangani anak mereka yang menghidap autisme.

“Di Amerika Syarikat, seorang dalam setiap 68 kanak-kanak menghidap autisme. Ia adalah tentang kesedaran. Mereka tidak seperti kita kerana mereka lebih terbuka untuk menerima kenyataan, hakikat bahawa mereka mempunyai anak yang menghadapi autisme.

Ibrahim berkata ada tanda-tanda dan gejala yang boleh membantu ibu bapa mengenal pasti sama ada anak mereka menghidap autisme seperti tidak ada interaksi sosial, tidak boleh berkomunikasi, tidak berinterasi melalui mata, dan tidak berinteraksi dengan orang lain termasuk keluarga dan rakan-rakan.

Dalam usaha mempromosikan kesedaran ibu bapa, fakultinya akan mengadakan Persidangan Penjagaan Kesihatan Integratif Antarabangsa Malaysia 2017 selama dua hari di Kolej Sains Perubatan Universiti Cyberjaya bermula pada 28 Oktober.

-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *