Daripada jumlah tersebut dianggarkan 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidapnya yang berumur antara enam bulan hingga lewat 20-an.

Dengan statistik tersebut, ibu bapa dinasihatkan agar peka dengan kelakuan anak masing-masing kerana sindrom autisme ini boleh dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Pengarah Early Autism Project Malaysia Sdn. Bhd., Jochebed Isaacs, berkata, 50 peratus kanak-kanak yang menghidap autisme mampu menyaingi rakan sebaya sekiranya mereka diberikan latihan yang mencukupi.

Tambahnya lagi, angka tersebut merupakan satu angka yang tinggi, tetapi apa yang menyedihkan hari ini ialah masyarakat di negara ini tidak mengetahui mengenai hal tersebut.

“Secara umumnya, autisme wujud dalam semua masyarakat tanpa mengira kaum serta juga umur. Disebabkan itulah ibu bapa seharusnya memberikan perhatian kepada perkembangan anak-anak sejak dari kecil lagi.

“Ini kerana sindrom autisme ini boleh dirawat, namun sekiranya dibiarkan berlarutan sehingga individu tersebut dewasa, keadaan mungkin sudah terlambat.

“Walaupun sehingga kini sindrom autisme belum ada penawar, tetapi sekurang-kurangnya pengetahuan ibu bapa mengenai sindrom ini dapat memberikan anak-anak autisme harapan baharu,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Jochebed berkata, pihaknya ada menawarkan program Analisis Aplikasi Tingkah Laku (Applied Behavioral Analysis -ABA) kepada kanak-kanak yang menghidap sindrom autisme.

Beritahunya lagi, program tersebut adalah satu-satunya rawatan berasaskan kajian dan terdapat lebih 1,000 artikel jurnal yang menyokong keberkesanan rawatan ABA ini.

Tuturnya, program ABA tersebut boleh diguna pakai pada semua penghidap autisme tanpa mengira tahap, tetapi mereka akan dikategorikan mengikut tahap kecenderungan masing-masing.

Ini kerana, program tersebut akan dilaksanakan secara individu dan mengikut pendekatan yang berbeza seperti kemahiran kompleks yang akan dipecahkan kepada komponen-komponen kecil, dipasangkan dengan ganjaran, dan diberikan latihan yang mencukupi.

Program ABA ini juga berfungsi berdasarkan prinsip-prinsip ‘pelaziman operan’ di mana tindakan yang diambil akan memberi kesan kepada tingkah laku yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Jochebed menjelaskan, ada lapan sebab keberkesanan program ABA iaitu program berciri tersendiri, waktu intensif (35 jam seminggu), pengajaran secara persendirian (1:1), intervensi awal, mulakan dengan kejayaan, pendekatan pembelajaran positif, pengawasan pelbagai tahap, dan program yang komprehensif.

Telah dilaksanakan sejak 10 tahun yang lalu, program ini telah dipraktikkan kepada lebih daripada 300 kanak-kanak autisme dari 30 buah negara seluruh dunia.

Menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia, ABA merupakan satu program yang berasal dari Amerika Syarikat dan telah dipraktikkan di negara ini sejak tiga tahun lalu.

Disebabkan itu jugalah sebanyak 65 peratus pelajar EAP telah berjaya ditempatkan di sekolah-sekolah biasa dan melalui program tersebut juga sebanyak 77 peratus kanak-kanak autisme sudah boleh bercakap.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 50 peratus kanak-kanak autisme sudah lancar dalam pertuturan manakala selebihnya baru hendak belajar berkomunikasi.

Sehubungan itu sempena ulang tahun yang ke-10, EAP akan menganjurkan EAP Annual Conference 2016 pada 8 Oktober ini di Hotel Vistana Kuala Lumpur.

Bertemakan Perkembangan Pertuturan dan Bahasa Dalam Kalangan Kanak-Kanak, pada persidangan itu nanti juga akan dilancarkan projek The Hope.

Yang pasti, penghidap sindrom autisme perlulah diberikan latihan yang berterusan agar masa hadapan mereka cerah.

Pada masa yang sama, ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha memastikan anak-anak mereka dapat hidup seperti kanak-kanak normal yang lain.

FAKTA TENTANG AUTISME

  • Menurut statistik pada 2014, satu dalam 68 individu menghidap autisme.
  • Autisme boleh didiagnos dengan tepat seawal usia 18 bulan.
  • Faktor persekitaran, biologi dan genetik dikaitkan dengan punca autisme tetapi penyebab utama masih belum diketahui.
  • Tidak ada penyelesaian perubatan untuk autisme dan Analisis Aplikasi Tingkah Laku (ABA) adalah satu-satunya rawatan yang berasaskan bukti.
  • Hampir 50 peratus daripada kanak-kanak autisme yang menerima rawatan ABA yang berkualiti berupaya menyaingi perkembangan rakan-rakan sebaya mereka.
  • Autisme merupakan keadaan kesihatan mental yang mempunyai spektrum tersendiri dan boleh menjejaskan individu pada pelbagai tahap yang berbeza (parah, sederhana, sangat parah).

MITOS TENTANG AUTISME

  • Autisme disebabkan oleh kemahiran keibubapaan yang tidak baik
  • Individu dengan autisme bersifat agresif
  • Individu dengan autisme tidak menunjukkan kasih sayang
  • Individu dengan autisme tidak mampu belajar
  • Individu dengan autisme mempunyai bakat genius
  • Vaksinasi menyebabkan autisme

Sumber daripada :