BENEFITS OF DR. SILICA WATER.
December 12, 2017
FAKTA TENTANG KESIHATAN MANUSIA DAN KANDUNGAN ALUMINUM DALAM AIR MINUM
January 2, 2018

ALZHEIMER CABARAN BESAR DUNIA PERUBATAN.

SEJAK dikesan lebih 100 tahun lalu, penyakit alzheimer menjadi cabaran besar kepada pengamal perubatan, malah ia kini semakin ‘ganas’ meragut ingatan dan kebebasan para pesakit.

Kajian yang dilakukan para penyelidik juga banyak menemui kegagalan sekali gus merencatkan usaha melawan penyakit berkenaan.

Meskipun, di Amerika Syarikat (AS) penjagaan terhadap para pesakit tersebut bertambah baik, namun punca penyakit tersebut masih menjadi teka-teki.

Penyakit alzheimer merupakan penyumbang kepada dua pertiga daripada kes demensia (nyanyuk). Para penyelidik kini semakin tertekan ekoran bilangan pesakit tersebut terus meningkat seiring jangka hayat penduduk yang semakin panjang.

“Masalah ini bakal menjadi ‘tsunami’ terutamanya dari segi kos perubatan,” ujar Pengarah Inisiatif Sains di Pertubuhan Alzheimer AS, Dean Hartley.

Harapan untuk mencari penawar kepada penyakit tersebut semakin tipis apabila beberapa syarikat farmaseutikal gergasi seperti Eli Lilly, Pfizer dan Johnson & Johnson memberhentikan kajian, apabila hasil kajian mereka gagal dalam ujian klinikal.

Ekstrak tumbuhan

Pada 6 September lalu, para penyelidik Perancis mengumumkan rancangan meluaskan pasaran ekstrak tumbuhan ginko biloba sebagai pencegahan semula jadi bagi penyakit alzheimer, namun ia bukanlah pencegah demensia.

PARA pengamal perubatan menghadiri satu mesyuarat sempena Hari Alzheimer Sedunia di Paris baru-baru ini, namun mereka masih buntu mencari penyelesaian.

 

Selain menyalahkan kekurangan dana, para penyelidik buntu dalam mencari penyelesaian bagi penyakit yang ditemui doktor Jerman, Alois Alzheimer. Dia menemui penyakit itu dalam otak pesakit demensia yang meninggal dunia pada tahun 1906.

Sebelum itu, sehingga tahun 1960-an, kajian tentang alzheimer sangat sedikit kerana ketika itu bilangan pesakit tidak ramai.

Ketika ini, terdapat ubat yang boleh mengurangkan simptom penyakit tersebut tetapi ubat itu masih gagal mencegah sepenuhnya penyakit alzheimer.

“Orang ramai amat memerlukan ubat terutama para pesakit dan ahli keluarga terdekat,” kata Eric Karran, Pengarah Penyelidikan di Pusat Penyelidikan Alzheimer United Kingdom.

“Kita berada dalam situasi yang kritikal dalam menangani penyakit ini,” tambahnya.

Hartley dan Karran berkata, kerajaan memberikan peruntukan kewangan yang sedikit, sedangkan usaha pencegahan dan rawatan penyakit Alzheimer memerlukan kos yang tinggi.

“Industri farmaseutikal telah menemui banyak kegagalan dalam usaha mencari punca penyakit alzheimer. Kami bimbang jika kerajaan berfikir ‘usaha mengatasi penyakit alzheimer adalah terlalu sukar, jadi kita tunggu sahaja sehingga sains merungkai masalah tersebut’,” kata Hartley dan Karran.

Kos meningkat

Persekutuan Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI) menjangkakan pesakit demensia akan meningkat daripada 35.6 juta orang pada tahun 2010 kepada 65.7 juta orang (2030) dan 115.4 juta orang (2050).

PESAKIT alzheimer memerlukan sokongan dan kasih sayang keluarga sementara menunggu keajaiban dalam dunia perubatan.

 

Sehubungan itu, kos termasuk rawatan hospital dan pusat jagaan, ubat serta rawatan susulan dijangka meningkat kira-kira 85 peratus pada tahun 2030 berbanding AS$600 bilion (RM2,000 bilion) pada tahun 2010.

Bagaimanapun, wang bukanlah satu-satunya masalah kerana penyakit itu begitu kompleks dan haiwan pula tidak boleh dijadikan objek kajian untuk merungkai punca alzheimer.

Pesakit alzheimer kebiasaannya ketara bagi mereka yang berusia sekitar 70 tahun. Pada usia tersebut, anggota keluarga mendapati orang kesayangan mereka menjadi keliru dan pelupa.

“Pesakit yang menjalani ujian klinikal didapati telah menghidap penyakit tersebut sejak 15 tahun lalu, peringkat ini sel neuron telah mati,” kata Karran.

Justeru itu, para penyelidik menyasarkan untuk mengesan dan menjalankan rawatan kepada para pesakit yang baru di peringkat awal penyakit berkenaan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *